Wednesday, 20 November 2013

Kelebihan Membaca & Mengamalkan Al-Quran


15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Quran.


أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran merupakan mukjizat daripada Allah SWT, al-Quran juga adalah senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah SWT (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang unggul.

Di dalam al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya al-Quran dan pada masa penurunan al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

 Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :

Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)

Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.

Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )

 Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)

Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai peduman hidup kita , apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah S.W.T. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Monday, 3 June 2013

Wajah mayat berubah menjadi Himar


Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram. seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi. "Hai saudara" tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. "Setiap tempat ada bacaanya tersendiri, kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."
"Saya ada alasan tersendiri" jawab pemuda itu. "Saya meninggalkan Khurasan, tanah air saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali? "Saya terduduk disisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?" maka saya menjawab " bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"
Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama. "Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu. "Saya yang terpilih (Muhammad)." "Saya lantas memegang jarinya dan berkata "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh terjadi?"
"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat. Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahi keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu.

Berkat Membaca Bismillah



Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek "asyik bismillah, bismillah, kejap-kejap bismillah".
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia dia berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata " suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata "simpan duit ini". Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat. Di samping itu, suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
Selang beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan". Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca "Bismillahirrahmanirrahim". Ketika itu Allah SWT menghantar malaikat Jibrail A.S untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah dan dia juga membaca bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.


Rasulullah Dengan Buah Limau



Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan senyuman. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diirii untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu akan tetapi tidak berjaya. Rancangan jahatnya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Kisah Kewafatan Rasulullah SAW


Pagi itu, meski langit telah mula menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbata memberi petuah "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya..ku wariskan dua hal pada kalian, Al-Quran dan sunnah. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama aku". Khutbah singkat itu di akhiri dengan pandangan Rasulullah yang teduh menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya turun naik menahan nafas dan tangisnya, Uthman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang,saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua" desah hati semua sahabat masa itu. Matahari kian tinggi,tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Tiba-tiba dari luar pintu seorang yang berseru memberi salam. "bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "maaf,ayahku sedang demam" kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Lalu kembali kepada Rasulullah. Rasulullah berkata "ketahuilah, dialah yang menghapus kenikmatan semetara, dia lah yang memisahkan pertemuan didunia. Dialah malaikat maut" Fatimah menahan ledakan tangisannya. Malaikat maut pun menghampiri tapi Rasulullah bertanya kenapa Jibril tidak ikut serta. Kemudian di panggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap diatas langit dunia menyambut roh kekasih Allah, penghulu dunia ini. "wahai Jibril, jelaskan apakah hakku nanti dihadapan Allah?" tanya Rasulullah dengan suara yang lemah. "pintu-pintu langit sudah terbuka, para malaikat telah menanti ruh mu, semua syurga terbuka luas menanti kedatanganmu" kata Jibril. Tapi ternyata itu tidak membuat Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak gembira mendengar khabar ini?" tanya Jibril. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "jangan risau wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku, ku haramkan syurga bagi sesiapa saja kecuali umat Muhammad yang berada di dalamnya" kata Jibril. Saatnya Izrail melakukakan tugas menarik perlahan-lahan ruh Rasulullah. Seluruh tubuh Rasulullah berpeluh dan urat-urat leher menegang. "wahai Jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini" rintih Rasulullah. "ya Allah, dasyatnya nian maut ini, timpakan saja siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku". bibirnya bergetar seakan ingin membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinga. "Peliharalah solat dan bantulah orang-orang yang lemah diantara kamu". Di luar pintu tangis kedengaran bersahutan, sahabat saling berpelukan. Ali kembali mendekatkan telinga ke bibir Rasulullah yang kebiruan "ummati(umatku), ummati, ummati". dan pupuslah kembang hidup baginda mulia itu. Mampukah kita mencintai sepertinya????

Sunday, 2 June 2013

Jangan Bersedih..Allah bersama kita

Wahai orang yang harinya ditimpa kesedihan, melangkahlah dengan perlahan, di ufuk sana telah tersedia jalan keluar yang akan memberikan keringanan.
Wahai orang yang matanya selalu digenangi air mata, hentikan aliran air mata itu dan berikan keknikmatan kepada kedua bola mata mu. Tenanglah, kerana kita berhak mendapat perlindungan diri Sang Pencipta dan pemeliharaan dari kebijaksanaan-Nya. Tenanglah qadha telah selesai, kebijaksanaan telah dirumuskan, rintangan sudah dapat dihilangkan, otot-otot kekuatan sudah kembali segar, dan pahala telah ditetapkan bagi yang terus berusaha.
Tenanglah, kerana kita sedang berurusan dengan Zar Yang Berkuasa atas urusan Nya, yang Maha Bijaksana atas hamba-hamba-Nya, yang Maha Pengasih terhadap makhluk-Nya, dan yang Maha Indah dalam segala pengaturan-Nya.
Tenanglah, kerana akhir dari pejalanan itu adalah kebaikan, hasilnya adalah ketenangan dan penutupnya adalah kemuliaan.
Setelah kefakiran itu akan ada kekayaan, setelah kehausan akan ada kesegaran, setelah perpisahan akan ada pertemuan, setelah bertengkar akan datang kerukunan, setelah terputus akan bersambung kembali dan setelah tidak tidur malam pasti akan dapat tidur nyenyak.

Berterima kasihlah kepada orang yang menyakiti hati kamu,
kerana dialah yang mengajar kamu ketabahan,
berterima kasihlah kepada orang yang mengabaikan kamu,
kerana dia juga yang memupukmu untuk berdikari,
berterima kasihlah kepada sesiapa yang menjatuhkan kamu,
kerana dia yang memperhebatkan lagi kemampuanmu,
berterima kasihlah kepada yang menyiksa kamu,
kerana dia yang mengujimu erti kesabaran...

Wahai DIRI,
jangan terlalu bandingkan diri dengan yang di atas,
kelak kita akan kecewa,
jangan terlalu bandingkan diri dengan di bawah,
kelak kau sentiasa berasa selesa,
bersyukurlah, semua yang berlaku ada hikmahnya..

Adakalanya kita perlu menangis supaya kita tahu,
hidup ini bukan hanya untuk bergembira..

Doa-doa Harian


Di dalam kesibukan menjalankan pekerjaan harian, kita kadangkala terasa payah melakukan sesuatu. Bagaimanapun, kita selalu lupa Allah SWT berada di samping kita dan telah berjanji akan memudahkan hidup kita jika kita memintanya.
Doa Harian ini adalah himpunan doa-doa yang mudah tetapi penting di dalam pekerjaan dan amalan seharian kita, sebagaimana yang pernah dilazimkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa hayat baginda.

Doa sebelum makan :

Ertinya : "Ya Allah, berkatilah rezeki kami dengan apa yang telah kau berikan kepada kami dan jauhi kami dari seksa neraka. Dengan nama Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"

Doa selepas makan :
Ertinya : "segala pujian bagi Allah yang telah memberi makanan dan minuman kepada kami. dan yang telah jadikan kami orang-orang muslim"

Doa masuk tandas :
Ertinya : "Ya Tuhan, hamba berlindung kepadaMu, dari segala kekotoran dan segala kejahatan"

Doa keluar tandas : 
Ertinya : "bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakanku kenikmatan dan mengekalkan dalam diriku kekuatan dan menjauhkan segala penyakit daripadaku"

Doa sebelum tidur :
Ertinya : "Ya Allah, dengan namaMu hamba hidup dan dengan namaMU hamba mati"

Doa bangun tidur :
Ertinya : "segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah dimatikan, dan kepadaNya kami akan kembali"

SELAMAT BERAMAL (",)





Lelaki Acuan Al-Quran



Lelaki acuan Al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman,
yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT,
yang sentiasa haus dengan ilmu,
yang sentiasa dahaga dengan pahala,
yang solatnya adalah maruah dirinya,
yang tidak pernah takut berkata benar,
yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu.

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang menjaga tuturkatanya,
yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifat-Nya,
yang pelindung yang mempunyai ramai kawan,
yang tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Lelaki acuan Al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibu bapanya,
yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarganya,
yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga,
yang akan mendidik anak-anak dan isteri mendalami agama Islam,
yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunngu Akhirat.

Lelaki acuan Al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya,
yang hidup dibawah naungan Al-Quran,
dan mencintai sifat Rasulullah SAW,
yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Lelaki acuan Al-Quran tidak pernah membazirkan masa,
yang matanya kepenatan kerana kuat membaca,
yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir,
yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
yang bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan,
kerana sehari lagi..
usianya bertambah penuh kemantagan.

Lelaki acuan Al-Quran
sentiasa mengingati mati,
yang baginya hidup didunia adalah ladang akhirat,
yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga,
meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Lelaki acuan Al-Quran ialah 
lelaki yang tidak mudah terpesona dengan buaian dunia,
kerana dia mengimpikan Syurga,
di situlah rumah impiannya,
bersama Wanita acuan Al-Quran.

Saturday, 1 June 2013

Peristiwa Israk Mikraj



Apa itu Israk dan Mikraj?? Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan kilat Rasulullah SAW pada sebahagian malam atas kekuasaan dan kehendak Allah dari Masjidilharam ke Masjid Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai ke Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.
Pengajaran yang besar daripada Israk dan Mikraj ini ialah kewajipan untuk menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda Rasulullah SAW telah ditunjukkan keadaan neraka dan ahlinya.
Baginda melihat melihat pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum akibat daripada segala bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar,setelah pecah ia kembali seperti sediakala. Itu adalah orang-orang yang berat kepalanya untuk sujud(sembahyang).
Nabi juga melihat seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfutnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar kepada kita yang hiduo ini agar tidak melakukuan segala perbuatan yang mungkar dan tercela, tidak kira apa bentuknya sekalipun kerana seksaan yang disediakan Allah SWT amatlah dahsyat.
Selain itu, perintah solat merupakan suatu bentuk ibadah yang begitu penting di dalam kehidupan seseorang hamba Allah SWT. Kewajipan solat begitu istimewa dibandingkan dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Rasulullah SAW daripada Allah SWT sewaktu bertemu dengan-Nya pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail.

Saturday, 11 May 2013

Adab Berdoa


Ramai di kalangan kita sering berdoa, akan tetapi tidak pula menjaga adab-adab berdoa tersebut. Marilah kita sama-sama menjaga adab berdoa tersebut, agar dapat makbulNya..

1. memulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan selawat.sudahi doa dengan kedua-duanya.
2. tekun dan doa berterusan tanpa berputus asa
3. berdoa dengan suara perlahan atau sederhana
4. merendah diri semasa berdoa,bertaubat kepada Allah dan bersyukur atas nikmatNya
5. tidak menggunakan bahasa berbelit atau sukar difahami semasa berdoa
6. mengulangi doa sebanyak 3 kali
7. manghadap Qiblat
8. mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa
9. berwuduk terlebih dahulu
10. mendoakan ibu bapa dan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mendoakan orang lain
11. berdoa dengan bertawasul menggunakan nama Allah yang mulia dan sifatNya yang Maha Tinggi
12. berdoa dalam keadaan fizikal bersih dari segi pakaian atau makan minum
13. membaca syahadah dan memita ampun terlebih dahulu(istighfar)
14. rendah diri,tawaduk,tawakkal serta bertakwa
15. memilih tempat yang sesuai atau mustajab
16. berdoa dengan doa yang pernah diamalkan Rasululllah.

Hadith: "kamu bedoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin kamu akan diterima, ketahuilah Allah tidak akan menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa. Dia tidak terima.
Allah berfirman: " Aku menyahut doa orang yang berdoakan kepadaku hendaklah mereka menyahut seruan dan beriman kepadaku,mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk".

TAUBAT


Islam, seluas-luas pintu di dalam ajaran Islam adalah pintu Taubat. Allah menyatakan: "wahai hambaku,jika dosamu itu sampai kelangit, banyaknya dosa dari bumi sampai kelangit, kemudian engkau istighfar,engkau pohon keampuanan daripadaku,aku ampunkan engkau aku tidak peduli..hamba itu tahu dia ada Tuhan yang boleh ampun dosanya dan boleh bertindak padanya..aku ampun dia".Apabila orang nak balik pada Tuhan,Tuhan xpernah tanya, bapa kau siapa,mak kau siapa,datuk kau dulu.. siapa Abu Jahal perang Nabi, memerangi Nabi, anaknya Ikrimah masuk islam,sahabat Nabi dan terbilang sebagai orang yang dekat kepada Nabi.Manusia yang tampil menentang Nabi lagi Tuhan terima Taubatnya,inikan pula manusia jalanan. Walaupun kita kata benda tu tidak baik..dia berzina,dia minum arak tapi kalau dia nak balik kepada Islam, tidak pernah ada halangan antara dia dengan Tuhan,sama sekali tidak ada. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang..

Rahmat Allah SWT



Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan Tuhan. bila-bila masa saja,siapa saja insan itu,dimana saja dia berada,bangsa apa dia,keturunan apa dia,siapa saja datuk neneknya,jika dia ingin berhubung dengan Allah Azwajalla atau kembali kepada Allah,maka tidak pernah ada halangan.Firman Allah: "beritahu hamba-hambaku yang mereka itu telah kecewa terhadap diri mereka,jangan mereka putus asa dengan rahmat Allah,jangan mereka kecewa dengan rahmat Allah, Allah mengampunkan segala dosa". Pintu keampunan Allah, Allah buka pada waktu siang untuk Dia mengampun orang yang buat dosa pada waktu malam, dan Dia buka pintu keampunan pada waktu malam untuk dia mengampun orang yang buat dosa pada waktu siang..

Friday, 10 May 2013

HARI PERTAMA PEMBENTANGAN



Pada 9 Mei adalah hari pertama sesi pembentangan bagi tugasan microsoft office powerpoint untuk kelas kami. Kebanyakan pelajar datang awal pada hari tersebut tetapi tiada seorang pun dari kami yang membuat persediaan untuk mengadakan sesi pembentangan. Kami terlupa untuk memeriksa sama ada alat-alat yang akan digunakan dapat berfungsi secara baik atau tidak. En. Azzwan,pensyarah kami datang dan memarahi kami kerana sikap lewa yang ditunjukkan oleh kami. Sememangnya En Azzwan patut memarahi kami kerana pada hari tersebut speaker tak berfungdi dengan baik. Akibatnya,pembentangan terpaksa di tangguhkan. Selepas usaha untuk menyediakan speaker berjaya,sesi pembentangan diteruskan. Belum sempat 5 minit, salah seorang kawan kami pula kehilangan dompetnya. Keadaan kelam kabut sementara. Akhirnya En. Azzwan juga yang menjadi hero..hehe..masa 3 jam yang sepatutnya boleh habis banyak pembentangan digunakan untuk 2 kumpulan sahaja membuat pembentangan..boleh la juga habiskan 2 kumpulan..nasib baik tak blackout!!!  

Thursday, 25 April 2013

Adat Silaturahim menurut Islam


Menyambung tali silaturahim merupakan salah satu kewajipan seorang Muslim, sedangkan memutuskannya termasuk dalam dosa besar. Silaturahim memiliki keutamaan yang sangat besar, selain di dunia dan juga kelak di akhirat. Allah SWT dan Rasulullah SAW menjanjikan pahala yang sangat besar bagi Muslim yang bersilaturahim.
Orang yang gemar bersilaturahim pun akan mendapatkan manfaat yang banyak dalam kehidupan seharian. Rasulullah mengatakan bahawa orang yang gemar bersilaturahim akan diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya.
Antara adat-adat bersilaturahim :
1. Niat yang baik dan ikhlas
2. mengharap pahala
3. memulai silaturahim dari yang terdekat
4. memulakan silaturahim dengan orang yang bertaqwa kepada Allah SWT
5.tidak henti menyambungkan silaturahim dengan orang yang memutusnya

Keutamaan Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan hari yang paling istimewa bagi kaum Muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.
Antara keistimewaannya ialah :
1. Hari paling mulia
2. Hari bagi kaum muslimin
3. Penghulu segala hari
4. Hari kebesaran mingguan
5. Hari perhimpunan bagi Solat Jumaat
6. Hari ramai Malaikat turun ke bumi
7. Hari Mustajab berdoa
8. Hari dihapuskan dosa
9. Hari lebih utama bersedekah
10. Hari meraih pahala
11. Hari hidayah daripada Allah SWT
12. Meninggal pada hari Jumaat sebagai tanda "Husnul Khatimah"(dibebaskan dari azab kubur)
13. Hari terselamat dari seksa kubur
14. Hari berlakunya Qiamat
15. Hari dapat melihat Allah SWT di Syurga

Semoga hari Jumaat ini menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa, lebih berhikmah, lebih berjaya dan cemerlang didunia dan diakhirat. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT.

Wednesday, 17 April 2013

Kenapa kita tidak boleh melihat Allah SWT





Sebab apakah kita tidak boleh melihat Allah SWT? Perkara ini lah yang bermain di fikiran saya sejak kecil lagi. Kadang-kadang saya membayangkan Allah itu dalam pelbagai bentuk. Bila dah mula belajar ilmu agama, baru lah saya tahu bahawa kita tidak boleh sama sekali membayangkan bentuk dan wajah Allah. Gambaran yang sedemikian adalah salah di sisi pegangan akidah islam. Sesungguhnya Allah tidak sama dengan sesuatu pun di atas muka bumi ini.
Info khas bagi pembaca blog yang bukan islam, dalam kepercayaan orang Islam, Allah adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah. Orang islam hanya dibenarkan menyembah tuhan yang satu dan hanya bergantung harap kepada-Nya. Kita tidak boleh melihat Allah kerana salah satu daripada kebesaran Allah adalah zatNya sama sekali tidak boleh dilihat.
Allah telah jadikan manusia dan memberikan akal untuk berfikir. Dengan kekuatan dan kelebihan akal yang dibekalkan, manusia mampu menguruskan kehidupan serta mereka cipta teknologi canggih. Walau bagai mana pun, manusia tak mampu membayangkan bagaimana rupa bentuk Allah yang sebenar. Rupa bentuk sebenar angin dan cahaya pun kita xboleh lihat, apatah lagi zat Allah Yang Maha Agong. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan dan memperbaharui iman kita.

Gagal atau belum berjaya?


Perkataan mana yang lebih tepat, gagal atau belum berjaya? bagi saya lebih suka istilah belum berjaya. Tidak ada istilah gagal dalam hidup kita mungkin seseorang itu tak lulus peperiksaan, tidak lulus temuduga, buat bisnes tak menjadi, tetapi itu tidak bermakna kita sudah gagal. Jangan cakap yang kita sudah gagal. Sebenarnya kita belum berjaya. Mungkin ilmu yang kita ada belum cukup untuk mencapai tahap tersebut. Mungkin usaha kita belum mencukupi dan mungkin juga kita belum buat yang terbaik. Kita tidak gagal selagi kita tidak berputus asa. Tidak mencapai target bukanlah kegagalan tetapi ianya merupakan proses untuk berjaya. Untuk berjaya kita perlu melalui liku-liku kehidupan termasuk lah jatuh dan bangun.Yang penting kita perlu perbaiki kelemahan diri dan pertingkatkan usaha untuk mencapai kejayaan.

Tuesday, 16 April 2013

Nikmat dan Azab di Akhirat


Dalam sebuah kitab ada menceritakan di akhirat nanti Allah akan masukkan orang yang hidup paling mewah tetapi banyak maksiat ke dalam neraka seketika. Kemudian dia dikeluarkan, lalu ditanyakan kepadanaya adakah dia masih merasakan keseronokan dan kepuasan hidupnya di dunia. Dia menjawab, demi Allah SWT, tidak sekali-kali.
Orang yang hidupnya paling susah semasa didunia tetapi beramal soleh dimasukkan kedalam syurga seketika. Apabila dikeluarkan Allah bertanya adakah dia masih merasakan kesengsaraan hidupnya di dunia. Lalu dia menjawab, tidak sekali-kali.
Begitulah gambaran betapa pedihnya siksaan neraka dan nikmatnya balasan syurga. Kesenangan didunia bagaikan setitik air di lautan. Lautan sejauh mana mata memandang, itulah kesenangan yang dijanjikan oleh Allah di akhirat kelak.

Kelebihan sembahyang berjemaah di Masjid


1. Masuk syurga tanpa dihisab

 Ada 3 golongan yang sembahyang berjemaah di masjid dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab :

-golongan pertama ialah orang yang ketika azan berbunyi dia sudah berada didalam masjid(menunggu azan di masjid)
-golongan kedua ialah orang yang berada dalam perjalanan ke masjid ketika azan dikumandangkan
-golongan ketiga ialah orang yang bergegas keluar dari rumahnya setelah mendengar azan menuju ke masjid azan di kumandangkan

2. Terima suratan amalan dengan tangan kanan

Semasa bersembahyang didunia ini manusia akan mengangkat tangan nya dan bertakbir. Di hari kiamat pula, tangan-tangan manusia akan terangkat untuk menerima suratan amalan(kitab catatan amalan) yang datang sendiri dari Arasy dengan kuasa Allah terus kepada tangan-tangan mereka.

"solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat( atau 27 kali ganda)".(Hadith Riwayat al-Bukhari dan muslim)



Monday, 15 April 2013

Mari mengenal Nabi Muhammad SAW


Assalamualaikum w.b.t.

Sebagai umat islama kita tahu bahawa Nabi Muhammad adalah nabi terakhir utusan Allah. Rasulullah adalah manusia yang paling mulia sehingga di angkat sebagai kekasih Allah SWT. Dalam usaha menyeru manusia untuk menyembah Allah dan hidup dalam cahaya Islam, Baginda melalui pelbagai ujian dan dugaan yang xmampu untuk di pikul oleh seorang manusia biasa. Walaupun umat nya berbuat jahat, Baginda langsung tidak menyimpan dendam malah akan membalas dengan kebaikan. Begitulah mulianya hati seorang kekasih Allah. Rasulullah adalah contoh terbaik untuk dijadikan contoh teladan dalam hidup kita yang penuh pancaroba ini. Untuk mencintai Rasulullah kita mesti la mengenalinya. Di sini saya kongsi secara ringkas biodata Rasulullah.

Nama : Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim
Tarikh Lahir : Subuh Isnin 12 Rabiulawal/20 April 571M(Dikenali sebagai tahun gajah)
Tempat Lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
Nama Bapa : 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim 
Nama Ibu : Aminah binti Wahab binti 'Abdul Manaf
Pengasuh pertama : Barakah al-Habsyiyyah